16 Dis 2010

Piala AFF Suzuki : Malaysia kalahkan Vietnam 2-0

Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur – Penyerang yang pulih daripada kecederaan Mohd. Safee Mohd. Sali muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan kedua-dua gol kemenangan skuad negara mengatasi Vietnam di dalam perlawanan yang memihak kepada Malaysia dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki di sini malam ini.

Gol-gol tersebut dijaringkan pada babak kedua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang anak buah K. Rajagobal untuk melangkah ke peringakt akhir kejohanan tersebut. Tetapi mereka perlu mengharungi satu lagi perlawanan menentang pasukan yang sama tetapi di venue lawan di Hanoi.

Kejayaan ini boleh dibanggakan kerana skuad negara kini bermain pada tahap sebenar setelah ramai pemain utamanya mengalami kecederaan.

Perlawanan seterusnya akan dilangsungkan pada Sabtu nanti. Sementara itu perlawanan kedua antara Filipina menentang Indonesia akan dilangsungkan esok.

Keputusan perlawanan Malaysia di peringkat kumpulan

Malaysia vs Indonesia (1-5)
Malaysia vs Thailand (0-0)
Malaysia vs Laos (5-1)

15 Nov 2010

Malaysia 1 Iran 3

Sukan Asia XVI: Skuad bola sepak tewas 1-3


15/11/2010 6:34pm

GUANGZHOU 15 Nov - Perjuangan Malaysia di dalam Sukan Asia berakhir hari ini setelah tewas 1-3 kepada Iran pada saingan Round of 16 sebentar tadi.
Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-85.

Bagaimanapun Malaysia yang berjaya ke pusingan ini dengan perkiraan timbal balik setelah menduduki tempat ketiga paling selesa pada kumpulan.

Malaysia menduduki tangga ketika dikumpulan setelah berjaya memperolehi satu kemenangan 2-1 keatas Kyrgystan dan tewas 0-2 kepada Jepun dan China 0-3 dimana pasukan negara tepaksa bermain dengan 8 pemain setelah 3 pemain dibuang padang.

11 Nov 2010

Jepun 2 Malaysia 0

Petikan daripada Utusan Malaysia 11/11/2010


HUADU, Guangzhou - Skuad negara gagal mengulangi rentak kemenangan ke atas Krygyzstan, apabila tenggelam dalam permainan laju skuad Bawah 21 Jepun, yang mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan negara dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di sini, semalam.

Kerapuhan jentera kesebelasan Malaysia memang tidak dinafikan, selepas skuad negara kehilangan ramai pemain tonggak, yang sepatutnya memikul tugas pada perlawanan ini.

Lebih memilukan nanti, jurulatih K. Rajagobal terpaksa menyediakan pasukan yang ampuh untuk berdepan tuan rumah, China, tatkala dua tiga pemainnya terpaksa dibawa keluar padang semalam, selepas disahkan mengalami kecederaan.
Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya memberikan tentangan kepada Jepun dalam babak pertama, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam baki 45 minit perlawanan.
''Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat dan bagi kebanyakan pemain saya, perlawanan ini merupakan pengalaman pertama mereka berdepan lawan sukar.
''Saya berpendapat ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang baik buat mereka untuk mengatur strategi berdepan China selepas ini.
"Saya akan melihat mereka bertambah yakin untuk berdepan tuan rumah," kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Jurulatih skuad negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA di Vientiane tahun lepas, turut memuji semangat melawan anak-anak buahhya ketika mempertahankan gawang negara, walaupun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Jepun.
Jepun yang memalukan tuan rumah, China 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka, meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului skuad negara pada babak pertama yang sarat dengan asakan bertali arus skuad Blue Samurai, ketika skuad negara hanya mampu bertahan.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kensuke Nagai, yang mengambil kesempatan daripada benteng lemah Malaysia yang agak kucar-kacir dan mudah hilang kawalan bola.

Hotaru Yamaguchi menambah jaringan kedua minit ke-65, untuk mengukuhkan kedudukan Jepun yang kini selesa di tangga teratas saingan Kumpulan A.
Nagai bijak mencuri peluang terhidang di depan pintu gol Malaysia selepas bola rembatan rakan sepasukan, Keigo Higashi termuntah daripada dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan Nagai, anak buah K. Rajagobal cuba bangkit, namun persembahan kental benteng pertahanan skuad Bawah 21 Jepun, menyukarkan gandingan Norshahrul Idlan Talahan dan Izzaq Faris Ramlan untuk berusaha membolos gawang lawan.
Pada baki 15 minit perlawanan babak pertama, Malaysia terus mempamerkan corak bertahan, dengan sesekali membalas serangan, namun aksi Malaysia terus tenggelam dalam kerancakan bertali arus serangan Jepun yang lebih kemas mengatur formasi serangan laju. - Utusan

9 Nov 2010

Malaysia lepasi halangan pertama

Petikan daripada Utusan Malaysia 9/11/2010

Gol Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27
Guangzhou - Malaysia mengorak langkah kanan dalam perlawanan pertama Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou 2010 dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, petang semalam.

S. Chanturu memastikan tiga mata milik skuad bimbingan K. Rajagobal itu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 45 minit babak pertama.

Malah, skuad bawah 23 tahun negara dengan tiga pemain senior termasuk ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah yang berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002, mendahului menerusi penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.

Namun, Kyrgysztan dengan khidmat dua pemain berpengalaman liga Perancis dan Latvia, Davron Askarov dan Azamat Baimatov, sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Sydykov, 10 minit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun, cuma beroleh tiga peluang ke gawang daripada enam percubaan, berbanding lima milik lawan selain mendapat tiga sepakan sudut.

Dua pemain negara, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dari Myanmar, Win Cho.

Kemenangan idaman ini turut menamatkan badi kecundang perlawanan sulung buat Malaysia dalam Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, apabila dua kali dikalahkan Oman 1-0 dan 3-1.

Ia juga bakal menjadi penyala semangat yang terbaik menjelang pertemuan dengan lawan yang lebih getir, Jepun di gelanggang sama pada pukul 4 petang esok.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menyifatkan ia pencapaian yang membanggakan.

"Kemenangan ini amat membanggakan kerana skuad yang berkunjung ke Guangzhou tidak berada pada kekuatan seratus peratus, berikutan masalah kecederaan yang melanda pemain utama," katanya.

Jelas Azzuddin, kecemerlangan itu harus diteruskan pada perlawanan kedua dan ketiga peringkat kumpulan, menentang China dan Jepun, walaupun tidak mempunyai ramai pemain utama termasuk pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

"Kita memang sukar menjangkakan sama ada mampu untuk mengatasi Kyrgyzstan dengan kekuatan yang ada.

''Namun kemenangan 2-1 sekurang-kurangnya mengatasi keraguan terhadap kemampuan skuad ini.

"Saya harap ketiadaan pemain senior akibat kecederaan, dapat diketepikan dan pemain dapat meneruskan aksi cemerlang walaupun berdepan laluan sukar bertemu Jepun Rabu ini dan perlawanan terakhir bertemu China pada 13 November ini," katanya.

Bagaimanapun berita yang menggembirakan itu dicacatkan dengan kecederaan yang melanda ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 sebelum digantikan pemain muda, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Selain Norhafiz, turut cedera dan terpaksa dikeluarkan ialah penjaring gol kedua, S. Chanturu yang digantikan dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-82.

1 Nov 2010

Sathia belum tahu arah tuju

Petikan daripada Utusan Malaysia 31/10/10

Buat pertama kali pasukan Kelantan berjaya mengungguli
Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1
semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, B. Sathianathan belum pasti masa depannya bersama skuad The Red Warrios itu ekoran kes penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.


Tanpa mahu memikirkan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini, dia sudah menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi menyatakan hasrat mengambil cuti sementara waktu sebelum musim baru bermula.

''Buat masa ini pendek kata tiada sebarang perbincangan mengenai sambungan kontrak dengan KAFA.

''Saya tidak boleh bercakap apa-apa kerana selagi kes saya bersama FAM belum selesai, selagi itu sukar untuk perkatakan mengenai masa depan saya bersama skuad Kelantan.

''Hukuman enam bulanbukannya sekejap dan saya rasa situasi itu akan memberi kesan kepada kontrak saya, terpulanglah kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan KAFA jika hukuman tersebut dikekalkan, '' katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.

Sathia pada awalnya diarah tidak berada di bangku simpanan pemain dalam final Piala Malaysia oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengkritik badan bola sepak kebangsaan itu.

Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun bersetuju menangguhkan hukuman sehingga ahli jawatankuasa itu bersidang kembali.

Sementara itu, Sathia melahirkan rasa bangga kerana membentuk Kelantan menjadi pasukan yang lebih berdisiplin selepas mengambilalih jawatan jurulatih.

''Dahulu orang luar selalu melabelkan Kelantan sebagai pasukan 'kaki gaduh' dan tidak berdisiplin sepanjang perlawanan.

''Tetapi ia tidak lagi berlaku sejak saya menjadi jurulatih di sini, anda boleh lihat dalam 13 bulan lalu, Kelantan hanya mengutip dua kad merah dan itu merupakan satu rekod disiplin yang baik.

''Malah, Tan Sri Annuar sendiri bukan saja gembira dengan tahap disiplin pasukan, malah teruja kerana kami berjaya menerap gaya permainan bola sepak yang baik dalam memburu kemenangan, '' katanya.

1 Okt 2010

Pemain import hanya dibenarkan pada musim 2012

Petikan daripada Berita Harian 1/10/2010

KEHADIRAN semula pemain import yang amat dinanti-nantikan musim depan, tidak menjadi kenyataan apabila ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulat suara hanya bersetuju menangguhkan kepulangan mereka ke kancah Liga Malaysia sehingga musim 2012.


Dalam sesi percambahan minda FAM yang berakhir di Shah Alam semalam, jawatankuasa pertandingan mengambil kira semua pandangan wakil persatuan negeri, kelab, persatuan pemain profesional, bekas jurulatih, penyokong, media sebelum memutuskan untuk hanya membenarkan khidmat pemain import selepas musim 2011.
 
Ini bagi memberi peluang kepada pasukan yang tidak berkemampuan untuk memperkukuhkan diri dari segi kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang akhbar ketika merumuskan hasil sesi dua hari itu.
 
Begitupun, selepas mengambil kira masih ada pasukan yang mempunyai masalah kewangan dan masih berhutang dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jawatankuasa memutuskan untuk membenarkan tiga pemain import mulai 2012.


Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana ia memang berada dalam perancangan (pelan jangka panjang) kami sehingga 2014. Segala keputusan kini menunggu persetujuan jawatankuasa eksekutif yang bersidang Isnin ini, katanya.

Kesemua peserta turut bersetuju dengan usul membenarkan Harimau Muda A (skuad Bawah 21 Tahun kebangsaan) beraksi dalam Liga Super musim depan manakala Harimau Muda B (skuad B-19) bermain dalam Liga Perdana.

30 Sep 2010

Vietnam tewaskan Malaysia 2-1

Petikan daripada Kosmo 29-9-10

HO CHI MINH CITY – Dendam Vietnam yang tewas kepada Malaysia pada final acara bola sepak Sukan SEA 2009 di Laos pada Disember lalu akhirnya terbalas.


Mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad kebangsaan Malaysia pada aksi sulung Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat di sini malam tadi.

Kegagalan Malaysia menahan asakan awal pasukan tuan rumah menjadi punca kekalahan tersebut biarpun mereka selepas itu dilihat berjaya mendominasi permainan berbanding Vietnam.

Namun, Vietnam yang dibantu sokongan 15,000 penyokong sendiri jelas menguasai sepenuhnya babak awal permainan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Seawal minit kelapan, kesilapan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat yang membuat sepakan lemah hampir dihukum Tran Dinh Dong tetapi bola lambungnya sedikit melepasi palang gol.

Namun, gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-19 setelah Nguyen Anh Duc mudah menolak masuk bola muntah Khairul Fahmi hasil percubaan awal Nguyen Ngoc Dieu untuk gol pertama Vietnam.

Tujuh minit kemudian, Vietnam mendapat gol kedua sekali lagi menerusi Ngoc Dieu yang mudah melepasi dua pertahanan tengah Malaysia, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom sebelum melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Hanya selepas setengah jam beraksi barulah anak-anak buah K. Rajagobal dilihat menemui rentak dan mula melakukan beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol Vietnam.

Pada minit ke-44, peluang Malaysia kembali cerah apabila memperoleh gol pertama setelah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong tergelincir ketika melakukan sepakan percuma di penjuru kanan.

Bola yang tepat menuju ke arah Norshahrul Idlan Talaha tidak dipersia-siakan penyerang Malaysia itu untuk merembat masuk bola ke gawang terbuka bagi merapatkan kedudukan.

Babak kedua bermula, rentak Malaysia semakin tersusun apabila berjaya menguasai permainan dan dilihat lebih banyak mengasak ke arah kubu pertahanan tuan rumah.

Bagi menambah sengat di bahagian serangan, Rajagobal telah memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani bagi menggantikan Fandi Othman dan Safee Sali pada minit ke-65 dan 70.

Namun, Malaysia tetap gagal mencari gol penyamaan biarpun masa kecederaan selama lima minit diberikan pengadil.

“Saya sudah beritahu pemain, Vietnam tentu mahu membuktikan sesuatu di hadapan penyokong mereka serta mahu membalas dendam tewas pada Sukan SEA 2009.

“Memang kita tidak beraksi baik pada 30 minit pertama apabila pemain hilang tumpuan, hilang kawalan bola serta dibolosi dua gol yang berpunca daripada kesilapan pertahanan.

“Tetapi kita bangkit dan menguasai babak kedua dengan aksi lebih baik dan agresif. Kita patut boleh seri atau menang.

“Jadi kita tak perlu rasa terlalu kecewa,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, pada perlawanan terdahulu yang berlangsung di gelanggang sama, Singapura dan Iran sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Iran mendahului pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma Aliasgaridehaghi Hamidreza tetapi Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 hasil tandukan pemain gantian, Luo Zhenlun Eugene selepas sepa- kan sudut.

Perlawanan kedua esok menyak- sikan Malaysia bakal bertemu Iran manakala Vietnam bertemu Singapura.

Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli (Sabre Mat Abu), Nasriq Baharom (Muslim Ahmad), Aidil Zafuan Radzak (ketua pasukan), Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Amar Rohidan (Gary Steven Rob- bat), Fandi Othman (Baddrol Bakhtiar), Norshahrul Idlan Talaha (Izzaq Faris Ramlan), Safee Sali (Ahmad Fakri Saarani).

Vietnam: Bui Tan Truong, Nguyen Quoc Long, Nguyen Thanh Long Giang, Nguyen Minh Duc (ketua pasukan), Tran Dinh Dong (Vo Hoang Quang), Dinh Thanh Trung (Mai Tien Thanh), Nguyen Ngoc Dieu (Phan Thanh Hung), Bui Van Hieu, Nguyen Duc Thien (Hoang Danh Ngoc), Le Van Thang (Nguyen Thai Duong), Nguyen Anh Duc.

PENGADIL: Mahapab Chaiya Alee (Thailand).

25 Sep 2010

Indonesia vs Uruguay (8 Okt 2010)

Seperti tak percaya bila terbaca satu berita mengenai Oscar Tabarez yang memanggil Luiz Suarez dan Deigo Forlan kembali ke Uruguay untuk mempersiapkan pasukan mereka mengharungi perlawanan persahabatan Uruguay selepas ini. Bukan persiapan mereka yang ingin diutarakan disini tetapi lawan yang akan dihadapi mereka nanti adalah pasukan yang kini menghuni di tangga 131 FIFA iaitu jiran kita Indonesia manakala Uruguay kini berada pada kedudukan ke 7 dan adalah semi-finalist Piala Dunia 2010 yang lalu.

Dari satu sumber menyatakan untuk membolehkan perlawanan ini diadakan sejumlah bayaran permainan yang tinggi telah dikenakan. Tidak tahu pula adakah sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa yang dilangsungkan pada masa ini memerlukan bayaran?. Bukan masalah ini juga yang ingin diutarakan tetapi ini sebenarnya menukjukkan kesungguhan dan komitmen Indonesia untuk memajukan bolasepak mereka. Jangan lupa seperti negara kita, Indonesia juga berangan-angan untuk beraksi di Piala Dunia.

Mungkin ini sebahagian daripada persiapan pasukan Indonesia untuk menghadapi kejuaraan Piala AFF Suzuki pada bulan Disember nanti. Perjuangan Indonesia terkandas di Separuh Akhir dalam kejohanan terdahulu. Perlawanan yang akan dihadapi oleh Indonesia pada 8 Oktober 2010 nanti mungkin akan memberi pengajaran dan pembelajaran yang bermakna buat Indonesia. Tahniah dan Selamat maju jaya buat Indonesia.

22 Sep 2010

Keputusan perlawanan TM Piala Malaysia (20/9/10)


Isnin 20 September 2010
Selangor1-0Perlis
Felda United1-2T-Team
Kelantan3-3KL Plus
PKNS1-2Negeri Sembilan
Sabah2-0Pahang
Terengganu0-1Kuala Lumpur
Johor FC2-0Perak
ATM1-1Kedah




Ahad 3 Oktober 2010
8:45:PMNegeri SembilanvsKelantan
8:45:PMPKNSvsKL Plus
8:45:PMPahangvsTerengganu
8:45:PMSabahvsKL
8:45:PMKedahvsJohor FC
8:45:PMATMvsPerak
8:45:PMT-TeamvsSelangor
8:45:PMFelda UnitedvsPerlis

19 Sep 2010

Fandi, Fadhli 'dipikat' Vion FC

Petikan daripada Kosmo 18/9/10
 
BIARPUN skuad bawah 21 tahun kebangsaan, Harimau Muda A baru dua minggu berada di Slovakia, dua pemainnya sudah pun 'dipikat' kelab Liga Corgon Slovakia, Vion FC, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.


Dua pemain yang bertuah itu ialah pemain pertahananan dan sayap kiri, Fandi Othman, 18, dan pemain pertahanan tengah, Fadhli Shas, 19.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, Fandi dan Fadhli telah ditawarkan untuk berlatih bersama pasukan utama kelab itu bermula kelmarin.

"Pemilihan kedua-dua pemain ini dibuat atas penilaian ketua jurulatih Vion FC ketika dia menyaksikan perlawanan kami di sini serta dibantu perbincangannya dengan saya.

"Mereka mula berlatih semalam (kelmarin) dan akan terus bersama Vion FC sehingga mereka berdua pulang ke tanah air sehari kemudian untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Fandi dan Fadhli merupakan tonggak utama Harimau Muda A pada tiga aksi persahabatan skuad negara setakat ini yang menyaksikan mereka tewas 1-3 kepada MFK Ruzomberok B, seri 2-2 dengan FC Petrazalka dan tewas 1-2 kepada Slovan Duslo Sala.

Jelas Kim Swee, pendedahan sesi latihan bersama Vion FC itu sesuatu yang amat berguna pada pemain muda negara selain ia turut membuktikan Malaysia juga tidak ketandusan pemain berkualiti.

"Saya harap Ini juga akan membuka lagi ruang kerjasama baik antara FAM dan Vion FC untuk terus memberi peluang pada pemain-pemain kita walaupun kelab itu berstatus elit di Eropah.

"Ia juga memberi semangat yang lebih kepada pemain-pemain lain agar dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang untuk dipilih menyertai mana-mana kelab di Slovakia ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Harimau Muda A turut mengadakan satu perlawanan persahabatan tidak rasmi pada Rabu lalu untuk memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan beraksi.

"Kita menentang sebuah kelab Liga 2 Slovakia dan seri 4-4. Ferris Danial Mat Nasir dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria masing-masing menjaringkan dua gol," kata Kim Swee.

18 Sep 2010

Keputusan perlawanan TM Piala Malaysia (17/9/10)


Jumaat 17 September 2010
PKNS1.0Kelantan
Sabah1-1Terengganu
PahangPPKuala Lumpur
Kedah2-2Perak
T-Team4-0Perlis
ATM1-1Johor FC
Felda United1-4Selangor




Isnin 20 September 2010
8:45:PMPKNSvsNegeri Sembilan
8:45:PMSabahvsPahang
8:45:PMKelantanvsKL Plus
8:45:PMTerengganuvsKL
8:45:PMATMvsKedah
8:45:PMFelda UnitedvsT-Team
8:45:PMJohor FCvsPerak
8:45:PMSelangorvsPerlis

15 Sep 2010

Keputusan Undian Piala ASEAN

Undian pasukan untuk Kejohanan Piala ASEAN (AFP) yang akan diadakan di Indonesia dan Vietnam pada 1-29 Disember 2010 telah diadakan pada hari ini.

Juara bertahan Vietnam telah diundi untuk berada sekumpulan bersama Singapura dan Myanmar manakala Malaysia berada pada kumpulan kedua bersama Thailand yang dibimbing oleh Bryan Robson dan Indonesia.
Kejohanan dwi-tahunan ini hanya meletakkan 3 pasukan sahaja pada masa ini dimana 2 lagi slot untuk setiap kumpulan akan dipenuhi oleh mana-mana pasukan yang akan bertarung sesama sendiri antara Cambodia, Laos, Timor-Leste and the Philippines pada pusingan kelayakan awal Oktober ini.

Format kejohanan menetapkan 2 pasukan yang menghuni pada tangga teratas setiap kumpulan akan bertarung secara kalah mati pada peringkat separuh akhir.

Keputusan undian
Group A: Indonesia, Thailand, Malaysia, Pemenang pertama kelayakan awal
Group B: Vietnam, Singapore, Myanmar, Pemenang ke-2 kelayakan awal

Ranking Malaysia jatuh 5 kedudukan.

Kedudukan Malaysia  di dalam senarai pasukan bolasepak dunia jatuh 5 anak tangga pada kedudukan 144 berdasarkan pada senarai ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA semalam. Keputusan ini disebabkan kekalahan pasukan kita kepada Oman 3-0 pada awal bulan ini.

Keputusan perlawanan bolasepak TM Piala Malaysia 2010 (14/9/10)


Johor FC1-1Kedah
Perak2-2ATM
Terengganu1-3Pahang
Selangor3-1T-Team
Perlis3-2Felda United
KL0-0Sabah
KL Plus0-1PKNS
Kelantan0-1Negeri Sembilan

30 Ogo 2010

Cadangan wujud bola sepak Liga ASEAN

Petikan daripada Utusan Malaysia.

KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara di rantau ini, bagi mewujudkan bola sepak Liga Asean, dalam usaha mengukur kemampuan pasukan bola sepak negara masing- masing.


Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, hasrat itu merupakan salah satu usaha KBS meningkatkan kedudukan skuad bola sepak negara di peringkat dunia.

Katanya, surat mengenai cadangan dan hasrat itu, telah dikemukakan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

"Kita telah kemukakan cadangan ini kepada Presiden, selain saya juga ada ajukan cadangan ini kepada Menteri Sukan Singapura dan Indonesia bagi membolehkan liga ini diadakan.

"Mereka telah pun bersetuju, bagaimanapun perkara ini mesti dipersetujui di peringkat persatuan bola sepak negara masing-masing terlebih dahulu.

''Objektif akhir kita mahu liga ini mendapat pengiktifaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan bola sepak antarabangsa lain," katanya.

Beliau menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Kemaman kepada penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, cadangan mewujudkan Liga Asean itu memerlukan proses seperti perlawanan bola sepak yang biasa berlangsung di negara Eropah.

Ujarnya, ia perlu dilakukan secara sistematik dan tidak membebankan pemain agar mampu beraksi dengan baik.

"Jika perkara ini mahu dilakukan ia perlu dilakukan dengan teliti.

''Ini kerana, kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan yang mampu beraksi dengan baik akan tergugat sekiranya perlawanan yang diadakan secara berterusan.

"Pada masa kini, kedudukan sesebuah skuad itu hanya bergantung dan dinilai jika ada perlawanan kelayakan untuk menyertai kejohanan sukan besar seperti Olimpik, Piala Dunia dan Sukan Asia.

"Jadi melalui penganjuran perlawanan Liga Asean ini dapat mewujudkan satu perlawanan yang boleh membuka mata penilai dan untuk peringkat permulaan cukuplah dengan melibatkan beberapa buah negara Asean dahulu," katanya.

24 Ogo 2010

FAM Punya Tiga Pilihan Untuk Mantapkan Skuad Harimau Muda

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mempunyai tiga pilihan bagi memantapkan skuad Harimau Muda terutama dalam misi mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia, tahun depan.


Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata skuad di bawah 23 tahun bimbingan Ong Kim Swee itu boleh meneruskan latihan di Slovakia, menyertai kem latihan di Cardiff City, Wales atau mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan negara lain.

"Kini terpulang kepada presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk menentukan pilihan terbaik bagi skuad tersebut dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi sesi 2010/2014 di Wisma FAM pada hari Isnin.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Skuad Harimau Muda sebelum ini di bawah bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah telah berada di Slovakia selama tiga bulan, bermula Februari lepas untuk menjalani latihan dengan menyertai pertandingan bola sepak liga di sana .

Namun pergeseran pendapat Azraai dan jurulatih penjaga gol, P. Mohana Sundram menyebabkan barisan jurulatih skuad tersebut dipecat dan Kim Swee dipilih menggantikan tempat Azraai.

Azzuddin berkata bagi pilihan pertama, Slovakia telahpun memberi pengesahan mahukan Skuad Harimau Muda A kembali bertanding dalam liga divisyen satu negara tersebut yang melibatkan 12 kelab.

Sementara itu, mengenai cadangan latihan selama enam minggu di Cardiff, Wales bersama kelab divisyen dua Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang kini dimiliki oleh rakyat Malaysia, katanya ianya belum dapat memastikan sama ada skuad muda negara akan dapat perlawanan yang bermutu.

"FAM akan menggunakan wang sendiri ke sana, tetapi kita tidak dapat memberi pengesahan sama ada dalam tempoh tersebut, skuad tersebut akan mendapat perlawanan yang bermutu," katanya.

Mengenai latihan di dalam negara dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara, katanya "berkemungkinan ianya tidak akan dapat mencapai prestasi maksimum dalam perlawanan persahabatan, terutama dalam jangka masa tiga bulan ini kerana kebanyakan negara sibuk mempersiapkan pasukan untuk ke Sukan Asia Guangzhou, pada November ini."

Beliau berkata kos perbelanjaan bagi ketiga-tiga pilihan tersebut adalah lebih kurang sama.

-- BERNAMA

13 Ogo 2010

Ranking FIFA pasukan bola kita naik lagi.

Utusan Malaysia 12/08/2010


KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara naik ke ranking 139 dunia, melonjak tiga anak tangga berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bulan Ogos, semalam.

Bulan lalu, ranking Malaysia di tangga ke-142, setelah naik empat anak tangga daripada kedudukan ke-146 pada bulan sebelumnya.

Peningkatan itu bermakna, skuad negara naik lapan anak tangga sepanjang dua bulan lalu di dalam ranking FIFA. Pada Disember tahun lalu, Malaysia sekadar berada di tangga ke-159 dunia.

Peningkatan ranking pada Ogos dibantu faktor perlawanan persahabatan antara skuad Bawah 23 Malaysia yang berdepan skuad bawah 21 Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Petanda positif itu turut dikongsi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang menyifatkan ia khabar gembira buat bola sepak negara.

''Peningkatan sedikit demi sedikit ini telah kita tunjukkan sejak setahun yang lalu, semasa di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal.

''Kini, tugas kita semua terutamanya Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah untuk mempertahankan kedudukan ranking ini dan kalau boleh terus mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin optimis skuad negara mampu melonjak ke tangga lebih baik, jika mempamer prestasi terbaik pada kejohanan AFF Piala Suzuki 2010.

''Dengan skuad Bawah 23 yang ada sekarang dan pemain Harimau Muda, saya yakin Malaysia mampu melonjak ke peringkat baru dalam persaingan bola sepak antarabangsa.

''Mungkin dalam masa satu tahun atau pada penghujung tahun ini, skuad negara boleh berada di kalangan 100 negara terbaik di dunia.

''Namun apa yang penting, pemain perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan, tidak kira pada peringkat kejohanan atau perlawanan persahabatan, '' katanya.

9 Ogo 2010

Undian TM Piala Malaysia

KUMPULAN A

Kelantan
Negeri Sembilan
KL Plus
Selangor PKNS

KUMPULAN B
Terengganu
Pahang
Kuala Lumpur
Sabah

KUMPULAN C
Johor FC
Kedah
Perak
ATM

KUMPULAN D
Selangor
T-Team
Perlis
Felda United

PERINGKAT KUMPULAN:
PUSINGAN 1: 14 Sept, 17 Sept, 20 Sept.
PUSINGAN 2: 3 Okt, 6 Okt, 9 Okt.

SUKU AKHIR:
Juara A lwn Naib D,
Juara B lwn Naib C,
Juara C lwn Naib B,
Juara D lwn Naib A.

(12 Okt dan 16 Okt)
* Jika Selangor layak, perlawanan 16 Okt melibatkan Selangor diawalkan ke 15 Okt kerana Selangor perlu beraksi dalam Piala Sultan Selangor 2010 pada 16 Okt.

SEPARUH AKHIR:
Juara A/Naib D lwn Juara C/Naib B
Juara B/Naib C lwn Juara D/Naib A

(20 Okt dan 23 Okt)

FINAL:
30 Okt di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tirai Liga Super 2010 berlabuh

LIGA Super musim 2010 melabuhkan tirainya dengan sederhana malam tadi apabila juara liga Selangor tewas manakala naib juara Kelantan terikat tanpa jaringan.


Ini bermakna kemuncak malam tadi sekadar menyerlahkan hakikat pakar mencium peluang sepanjang musim ialah penggempur Terengganu, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Berupaya mencatur gerak sama ada di tengah, penjuru kanan atau kiri, Ashaari mencetak 18 gol, termasuk jaringan tunggal menewaskan KL Plus malam tadi, untuk muncul pemenangan Kasut Emas.

Rembatannya pada minit ke-34 cukup memberi Terengganu tiga mata dan pembekal semangat buat anak buah Irfan Bakti menjelang undian Piala Malaysia Sabtu ini.

Selangor yang mengesah kejuaraan minggu lalu selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Shah Alam, kecundang 2-0 kepada Kedah hasil jaringan Faizal Abu Bakar pada minit ke-10 dan Baddrol Bakhtiar (m-70).

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Ahmad Aminuddin Shahruddin (m31) dan Mohd Azrul Ahmad yang menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan pelawat, Mohd Shukor Adan menjatuhkan Mohd Faiz Subri pada minit ke-49.

Di Stadium Darulmakmur, tuan rumah Pahang mengutip tiga mata terakhir selepas menewaskan penghuni tangga keempat, Johor FC 3-0, dan berjaya memintas KL Plus untuk menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, terikat tanpa jaringan dengan T-Team.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, tuan rumah Johor yang menghuni tangga kedua tercorot terus malang apabila ditewaskan Kuala Lumpur 1-0 manakala di Stadium Perak, tuan rumah membelasah pasukan tercorot Pulau Pinang 4-0 untuk memintas Kuala Lumpur di tangga ke-10.

1 Ogo 2010

Selangor menjuarai Liga Super dua musim berturut-turut

Selangor berjaya mempertahankan Kejuaran Liga Super Malaysia setelah menewaskan Terengganu 2-0 didalam perlawanan ke-25nya didalam liga. Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim pada babak kedua dan mengesahkan gelaran kedua berturut-turut Liga Super.

Tiga mata berharga yang diperolehi dengan perlawanan ini sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang dengan baki satu perlawanan.

Selaku juara Liga Super, Selangor berjaya meraih wang tunai RM 500,000. Hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Persahabatan Malaysia B23 (1) - Korea Selatan B23 (0)

Venue - Stadium Bukit Jalil
Tarikh - 26 Julai 2010
Jaringan Safiq Rahim minit ke 51


Malaysia & Indonesia akan membida Piala Dunia Edisi 2026.

Petikan daripada akhbar UTUSAN MALAYSIA 15/7/10

KUALA LUMPUR - Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan cadangan menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia bersama Indonesia.
Semalam, beliau mengumumkan tarikh yang lebih spesifik iaitu kedua-dua negara mungkin menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk kejohanan 2026.
Cadangan beliau ternyata mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menyokong dan ada juga yang memperlekehkan cadangan tersebut, yang disifatkan hanya 'mimpi' bukannya impian.
Namun, Ahmad Shabery berkata, kejayaan Afrika Selatan menganjurkan Piala Dunia 2010 menjadi inspirasi buat Malaysia dan Indonesia.
''Jika Afrika Selatan mampu menyediakan sebuah pasukan yang kuat untuk Piala Dunia, mengapa tidak kita negara-negara di rantau Asia Tenggara,'' katanya.
Beliau menghadiri Program Titian Muhibbah dan pengenalan Bandung Games 2010 di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Dr. Andi Mallarangeng serta delegasi.
Menurut Ahmad Shabery, sekiranya hajat tersebut dapat direalisasikan, ini bermakna Malaysia dan Indonesia mempunyai tempoh 16 tahun untuk mempersiapkan pasukan bola sepak masing-masing.
Jelasnya, tempoh tersebut cukup panjang untuk membuat persiapan, terutamanya membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan Piala Dunia.
''Kita mampu membina sebuah pasukan yang kuat. Dengan bajet yang mencukupi, saya yakin kita boleh membentuk sebuah pasukan yang kuat,'' ujarnya.
Beliau berkata, FIFA juga perlu meluaskan skop penganjuran Piala Dunia seperti di Asia Tenggara dan tidak hanya bertumpu kepada benua yang memiliki pasukan yang kuat dalam sukan itu.
Sementara itu, Dr. Andi yang diajukan soalan sama berkata, sudah tentu tahap permainan pasukan bola sepak kedua-dua negara perlu dipertingkatkan, sebelum bersedia untuk menjadi penganjur Piala Dunia.
''Buat masa ini, tahap permainan bola sepak di rantau ini masih terlalu rendah dan banyak usaha yang perlu dilakukan untuk membangunkan sukan tersebut di Asia Tenggara,'' katanya.
Menurut beliau, perundingan dengan Kerajaan Malaysia juga perlu diadakan bagi mencapai kata sepakat dalam usaha untuk melobi menjadi penganjur Piala Dunia kepada FIFA.