11 Nov 2010

Jepun 2 Malaysia 0

Petikan daripada Utusan Malaysia 11/11/2010


HUADU, Guangzhou - Skuad negara gagal mengulangi rentak kemenangan ke atas Krygyzstan, apabila tenggelam dalam permainan laju skuad Bawah 21 Jepun, yang mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan negara dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di sini, semalam.

Kerapuhan jentera kesebelasan Malaysia memang tidak dinafikan, selepas skuad negara kehilangan ramai pemain tonggak, yang sepatutnya memikul tugas pada perlawanan ini.

Lebih memilukan nanti, jurulatih K. Rajagobal terpaksa menyediakan pasukan yang ampuh untuk berdepan tuan rumah, China, tatkala dua tiga pemainnya terpaksa dibawa keluar padang semalam, selepas disahkan mengalami kecederaan.
Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya memberikan tentangan kepada Jepun dalam babak pertama, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam baki 45 minit perlawanan.
''Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat dan bagi kebanyakan pemain saya, perlawanan ini merupakan pengalaman pertama mereka berdepan lawan sukar.
''Saya berpendapat ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang baik buat mereka untuk mengatur strategi berdepan China selepas ini.
"Saya akan melihat mereka bertambah yakin untuk berdepan tuan rumah," kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Jurulatih skuad negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA di Vientiane tahun lepas, turut memuji semangat melawan anak-anak buahhya ketika mempertahankan gawang negara, walaupun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Jepun.
Jepun yang memalukan tuan rumah, China 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka, meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului skuad negara pada babak pertama yang sarat dengan asakan bertali arus skuad Blue Samurai, ketika skuad negara hanya mampu bertahan.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kensuke Nagai, yang mengambil kesempatan daripada benteng lemah Malaysia yang agak kucar-kacir dan mudah hilang kawalan bola.

Hotaru Yamaguchi menambah jaringan kedua minit ke-65, untuk mengukuhkan kedudukan Jepun yang kini selesa di tangga teratas saingan Kumpulan A.
Nagai bijak mencuri peluang terhidang di depan pintu gol Malaysia selepas bola rembatan rakan sepasukan, Keigo Higashi termuntah daripada dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan Nagai, anak buah K. Rajagobal cuba bangkit, namun persembahan kental benteng pertahanan skuad Bawah 21 Jepun, menyukarkan gandingan Norshahrul Idlan Talahan dan Izzaq Faris Ramlan untuk berusaha membolos gawang lawan.
Pada baki 15 minit perlawanan babak pertama, Malaysia terus mempamerkan corak bertahan, dengan sesekali membalas serangan, namun aksi Malaysia terus tenggelam dalam kerancakan bertali arus serangan Jepun yang lebih kemas mengatur formasi serangan laju. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan