1 Okt 2010

Pemain import hanya dibenarkan pada musim 2012

Petikan daripada Berita Harian 1/10/2010

KEHADIRAN semula pemain import yang amat dinanti-nantikan musim depan, tidak menjadi kenyataan apabila ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulat suara hanya bersetuju menangguhkan kepulangan mereka ke kancah Liga Malaysia sehingga musim 2012.


Dalam sesi percambahan minda FAM yang berakhir di Shah Alam semalam, jawatankuasa pertandingan mengambil kira semua pandangan wakil persatuan negeri, kelab, persatuan pemain profesional, bekas jurulatih, penyokong, media sebelum memutuskan untuk hanya membenarkan khidmat pemain import selepas musim 2011.
 
Ini bagi memberi peluang kepada pasukan yang tidak berkemampuan untuk memperkukuhkan diri dari segi kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang akhbar ketika merumuskan hasil sesi dua hari itu.
 
Begitupun, selepas mengambil kira masih ada pasukan yang mempunyai masalah kewangan dan masih berhutang dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jawatankuasa memutuskan untuk membenarkan tiga pemain import mulai 2012.


Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana ia memang berada dalam perancangan (pelan jangka panjang) kami sehingga 2014. Segala keputusan kini menunggu persetujuan jawatankuasa eksekutif yang bersidang Isnin ini, katanya.

Kesemua peserta turut bersetuju dengan usul membenarkan Harimau Muda A (skuad Bawah 21 Tahun kebangsaan) beraksi dalam Liga Super musim depan manakala Harimau Muda B (skuad B-19) bermain dalam Liga Perdana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan