30 Ogo 2010

Cadangan wujud bola sepak Liga ASEAN

Petikan daripada Utusan Malaysia.

KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara di rantau ini, bagi mewujudkan bola sepak Liga Asean, dalam usaha mengukur kemampuan pasukan bola sepak negara masing- masing.


Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, hasrat itu merupakan salah satu usaha KBS meningkatkan kedudukan skuad bola sepak negara di peringkat dunia.

Katanya, surat mengenai cadangan dan hasrat itu, telah dikemukakan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

"Kita telah kemukakan cadangan ini kepada Presiden, selain saya juga ada ajukan cadangan ini kepada Menteri Sukan Singapura dan Indonesia bagi membolehkan liga ini diadakan.

"Mereka telah pun bersetuju, bagaimanapun perkara ini mesti dipersetujui di peringkat persatuan bola sepak negara masing-masing terlebih dahulu.

''Objektif akhir kita mahu liga ini mendapat pengiktifaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan bola sepak antarabangsa lain," katanya.

Beliau menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Kemaman kepada penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, cadangan mewujudkan Liga Asean itu memerlukan proses seperti perlawanan bola sepak yang biasa berlangsung di negara Eropah.

Ujarnya, ia perlu dilakukan secara sistematik dan tidak membebankan pemain agar mampu beraksi dengan baik.

"Jika perkara ini mahu dilakukan ia perlu dilakukan dengan teliti.

''Ini kerana, kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan yang mampu beraksi dengan baik akan tergugat sekiranya perlawanan yang diadakan secara berterusan.

"Pada masa kini, kedudukan sesebuah skuad itu hanya bergantung dan dinilai jika ada perlawanan kelayakan untuk menyertai kejohanan sukan besar seperti Olimpik, Piala Dunia dan Sukan Asia.

"Jadi melalui penganjuran perlawanan Liga Asean ini dapat mewujudkan satu perlawanan yang boleh membuka mata penilai dan untuk peringkat permulaan cukuplah dengan melibatkan beberapa buah negara Asean dahulu," katanya.

24 Ogo 2010

FAM Punya Tiga Pilihan Untuk Mantapkan Skuad Harimau Muda

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mempunyai tiga pilihan bagi memantapkan skuad Harimau Muda terutama dalam misi mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia, tahun depan.


Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata skuad di bawah 23 tahun bimbingan Ong Kim Swee itu boleh meneruskan latihan di Slovakia, menyertai kem latihan di Cardiff City, Wales atau mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan negara lain.

"Kini terpulang kepada presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk menentukan pilihan terbaik bagi skuad tersebut dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi sesi 2010/2014 di Wisma FAM pada hari Isnin.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Skuad Harimau Muda sebelum ini di bawah bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah telah berada di Slovakia selama tiga bulan, bermula Februari lepas untuk menjalani latihan dengan menyertai pertandingan bola sepak liga di sana .

Namun pergeseran pendapat Azraai dan jurulatih penjaga gol, P. Mohana Sundram menyebabkan barisan jurulatih skuad tersebut dipecat dan Kim Swee dipilih menggantikan tempat Azraai.

Azzuddin berkata bagi pilihan pertama, Slovakia telahpun memberi pengesahan mahukan Skuad Harimau Muda A kembali bertanding dalam liga divisyen satu negara tersebut yang melibatkan 12 kelab.

Sementara itu, mengenai cadangan latihan selama enam minggu di Cardiff, Wales bersama kelab divisyen dua Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang kini dimiliki oleh rakyat Malaysia, katanya ianya belum dapat memastikan sama ada skuad muda negara akan dapat perlawanan yang bermutu.

"FAM akan menggunakan wang sendiri ke sana, tetapi kita tidak dapat memberi pengesahan sama ada dalam tempoh tersebut, skuad tersebut akan mendapat perlawanan yang bermutu," katanya.

Mengenai latihan di dalam negara dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara, katanya "berkemungkinan ianya tidak akan dapat mencapai prestasi maksimum dalam perlawanan persahabatan, terutama dalam jangka masa tiga bulan ini kerana kebanyakan negara sibuk mempersiapkan pasukan untuk ke Sukan Asia Guangzhou, pada November ini."

Beliau berkata kos perbelanjaan bagi ketiga-tiga pilihan tersebut adalah lebih kurang sama.

-- BERNAMA

13 Ogo 2010

Ranking FIFA pasukan bola kita naik lagi.

Utusan Malaysia 12/08/2010


KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara naik ke ranking 139 dunia, melonjak tiga anak tangga berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bulan Ogos, semalam.

Bulan lalu, ranking Malaysia di tangga ke-142, setelah naik empat anak tangga daripada kedudukan ke-146 pada bulan sebelumnya.

Peningkatan itu bermakna, skuad negara naik lapan anak tangga sepanjang dua bulan lalu di dalam ranking FIFA. Pada Disember tahun lalu, Malaysia sekadar berada di tangga ke-159 dunia.

Peningkatan ranking pada Ogos dibantu faktor perlawanan persahabatan antara skuad Bawah 23 Malaysia yang berdepan skuad bawah 21 Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Petanda positif itu turut dikongsi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang menyifatkan ia khabar gembira buat bola sepak negara.

''Peningkatan sedikit demi sedikit ini telah kita tunjukkan sejak setahun yang lalu, semasa di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal.

''Kini, tugas kita semua terutamanya Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah untuk mempertahankan kedudukan ranking ini dan kalau boleh terus mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin optimis skuad negara mampu melonjak ke tangga lebih baik, jika mempamer prestasi terbaik pada kejohanan AFF Piala Suzuki 2010.

''Dengan skuad Bawah 23 yang ada sekarang dan pemain Harimau Muda, saya yakin Malaysia mampu melonjak ke peringkat baru dalam persaingan bola sepak antarabangsa.

''Mungkin dalam masa satu tahun atau pada penghujung tahun ini, skuad negara boleh berada di kalangan 100 negara terbaik di dunia.

''Namun apa yang penting, pemain perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan, tidak kira pada peringkat kejohanan atau perlawanan persahabatan, '' katanya.

9 Ogo 2010

Undian TM Piala Malaysia

KUMPULAN A

Kelantan
Negeri Sembilan
KL Plus
Selangor PKNS

KUMPULAN B
Terengganu
Pahang
Kuala Lumpur
Sabah

KUMPULAN C
Johor FC
Kedah
Perak
ATM

KUMPULAN D
Selangor
T-Team
Perlis
Felda United

PERINGKAT KUMPULAN:
PUSINGAN 1: 14 Sept, 17 Sept, 20 Sept.
PUSINGAN 2: 3 Okt, 6 Okt, 9 Okt.

SUKU AKHIR:
Juara A lwn Naib D,
Juara B lwn Naib C,
Juara C lwn Naib B,
Juara D lwn Naib A.

(12 Okt dan 16 Okt)
* Jika Selangor layak, perlawanan 16 Okt melibatkan Selangor diawalkan ke 15 Okt kerana Selangor perlu beraksi dalam Piala Sultan Selangor 2010 pada 16 Okt.

SEPARUH AKHIR:
Juara A/Naib D lwn Juara C/Naib B
Juara B/Naib C lwn Juara D/Naib A

(20 Okt dan 23 Okt)

FINAL:
30 Okt di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tirai Liga Super 2010 berlabuh

LIGA Super musim 2010 melabuhkan tirainya dengan sederhana malam tadi apabila juara liga Selangor tewas manakala naib juara Kelantan terikat tanpa jaringan.


Ini bermakna kemuncak malam tadi sekadar menyerlahkan hakikat pakar mencium peluang sepanjang musim ialah penggempur Terengganu, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Berupaya mencatur gerak sama ada di tengah, penjuru kanan atau kiri, Ashaari mencetak 18 gol, termasuk jaringan tunggal menewaskan KL Plus malam tadi, untuk muncul pemenangan Kasut Emas.

Rembatannya pada minit ke-34 cukup memberi Terengganu tiga mata dan pembekal semangat buat anak buah Irfan Bakti menjelang undian Piala Malaysia Sabtu ini.

Selangor yang mengesah kejuaraan minggu lalu selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Shah Alam, kecundang 2-0 kepada Kedah hasil jaringan Faizal Abu Bakar pada minit ke-10 dan Baddrol Bakhtiar (m-70).

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Ahmad Aminuddin Shahruddin (m31) dan Mohd Azrul Ahmad yang menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan pelawat, Mohd Shukor Adan menjatuhkan Mohd Faiz Subri pada minit ke-49.

Di Stadium Darulmakmur, tuan rumah Pahang mengutip tiga mata terakhir selepas menewaskan penghuni tangga keempat, Johor FC 3-0, dan berjaya memintas KL Plus untuk menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, terikat tanpa jaringan dengan T-Team.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, tuan rumah Johor yang menghuni tangga kedua tercorot terus malang apabila ditewaskan Kuala Lumpur 1-0 manakala di Stadium Perak, tuan rumah membelasah pasukan tercorot Pulau Pinang 4-0 untuk memintas Kuala Lumpur di tangga ke-10.

1 Ogo 2010

Selangor menjuarai Liga Super dua musim berturut-turut

Selangor berjaya mempertahankan Kejuaran Liga Super Malaysia setelah menewaskan Terengganu 2-0 didalam perlawanan ke-25nya didalam liga. Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim pada babak kedua dan mengesahkan gelaran kedua berturut-turut Liga Super.

Tiga mata berharga yang diperolehi dengan perlawanan ini sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang dengan baki satu perlawanan.

Selaku juara Liga Super, Selangor berjaya meraih wang tunai RM 500,000. Hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Persahabatan Malaysia B23 (1) - Korea Selatan B23 (0)

Venue - Stadium Bukit Jalil
Tarikh - 26 Julai 2010
Jaringan Safiq Rahim minit ke 51


Malaysia & Indonesia akan membida Piala Dunia Edisi 2026.

Petikan daripada akhbar UTUSAN MALAYSIA 15/7/10

KUALA LUMPUR - Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan cadangan menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia bersama Indonesia.
Semalam, beliau mengumumkan tarikh yang lebih spesifik iaitu kedua-dua negara mungkin menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk kejohanan 2026.
Cadangan beliau ternyata mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menyokong dan ada juga yang memperlekehkan cadangan tersebut, yang disifatkan hanya 'mimpi' bukannya impian.
Namun, Ahmad Shabery berkata, kejayaan Afrika Selatan menganjurkan Piala Dunia 2010 menjadi inspirasi buat Malaysia dan Indonesia.
''Jika Afrika Selatan mampu menyediakan sebuah pasukan yang kuat untuk Piala Dunia, mengapa tidak kita negara-negara di rantau Asia Tenggara,'' katanya.
Beliau menghadiri Program Titian Muhibbah dan pengenalan Bandung Games 2010 di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Dr. Andi Mallarangeng serta delegasi.
Menurut Ahmad Shabery, sekiranya hajat tersebut dapat direalisasikan, ini bermakna Malaysia dan Indonesia mempunyai tempoh 16 tahun untuk mempersiapkan pasukan bola sepak masing-masing.
Jelasnya, tempoh tersebut cukup panjang untuk membuat persiapan, terutamanya membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan Piala Dunia.
''Kita mampu membina sebuah pasukan yang kuat. Dengan bajet yang mencukupi, saya yakin kita boleh membentuk sebuah pasukan yang kuat,'' ujarnya.
Beliau berkata, FIFA juga perlu meluaskan skop penganjuran Piala Dunia seperti di Asia Tenggara dan tidak hanya bertumpu kepada benua yang memiliki pasukan yang kuat dalam sukan itu.
Sementara itu, Dr. Andi yang diajukan soalan sama berkata, sudah tentu tahap permainan pasukan bola sepak kedua-dua negara perlu dipertingkatkan, sebelum bersedia untuk menjadi penganjur Piala Dunia.
''Buat masa ini, tahap permainan bola sepak di rantau ini masih terlalu rendah dan banyak usaha yang perlu dilakukan untuk membangunkan sukan tersebut di Asia Tenggara,'' katanya.
Menurut beliau, perundingan dengan Kerajaan Malaysia juga perlu diadakan bagi mencapai kata sepakat dalam usaha untuk melobi menjadi penganjur Piala Dunia kepada FIFA.