22 Mac 2011

Liverpool, Chelsea berkunjung ke Malaysia Julai ini

Petikan dari bernama

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Chelsea akan mengadakan perlawanan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Julai ini.


Perlawanan persahabatan itu adalah sempena lawatan dua pasukan gergasi itu ke Malaysia dalam siri Jelajah Asia 2011.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan daripada kedua kelab tersebut dan tarikh perlawanan akan diumumkan kemudian.

"Kemungkinan besar dalam masa terdekat ini satu lagi kelab terkemuka EPL akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad negara namum perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azzudin berkata, jadual perlawanan skuad negara bersama kelab Liverpool dan Chelsea mungkin hanya berbeza antara tiga atau empat hari sahaja.

Ini adalah pertama kali kelab Liverpool datang ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan setelah membatalkan pertemuan dengan pasukan Selangor pada 2008.

Manakala pasukan ‘The Blues’ (Chelsea) pernah menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia pada 2008.

16 Dis 2010

Piala AFF Suzuki : Malaysia kalahkan Vietnam 2-0

Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur – Penyerang yang pulih daripada kecederaan Mohd. Safee Mohd. Sali muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan kedua-dua gol kemenangan skuad negara mengatasi Vietnam di dalam perlawanan yang memihak kepada Malaysia dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki di sini malam ini.

Gol-gol tersebut dijaringkan pada babak kedua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang anak buah K. Rajagobal untuk melangkah ke peringakt akhir kejohanan tersebut. Tetapi mereka perlu mengharungi satu lagi perlawanan menentang pasukan yang sama tetapi di venue lawan di Hanoi.

Kejayaan ini boleh dibanggakan kerana skuad negara kini bermain pada tahap sebenar setelah ramai pemain utamanya mengalami kecederaan.

Perlawanan seterusnya akan dilangsungkan pada Sabtu nanti. Sementara itu perlawanan kedua antara Filipina menentang Indonesia akan dilangsungkan esok.

Keputusan perlawanan Malaysia di peringkat kumpulan

Malaysia vs Indonesia (1-5)
Malaysia vs Thailand (0-0)
Malaysia vs Laos (5-1)

15 Nov 2010

Malaysia 1 Iran 3

Sukan Asia XVI: Skuad bola sepak tewas 1-3


15/11/2010 6:34pm

GUANGZHOU 15 Nov - Perjuangan Malaysia di dalam Sukan Asia berakhir hari ini setelah tewas 1-3 kepada Iran pada saingan Round of 16 sebentar tadi.
Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-85.

Bagaimanapun Malaysia yang berjaya ke pusingan ini dengan perkiraan timbal balik setelah menduduki tempat ketiga paling selesa pada kumpulan.

Malaysia menduduki tangga ketika dikumpulan setelah berjaya memperolehi satu kemenangan 2-1 keatas Kyrgystan dan tewas 0-2 kepada Jepun dan China 0-3 dimana pasukan negara tepaksa bermain dengan 8 pemain setelah 3 pemain dibuang padang.

11 Nov 2010

Jepun 2 Malaysia 0

Petikan daripada Utusan Malaysia 11/11/2010


HUADU, Guangzhou - Skuad negara gagal mengulangi rentak kemenangan ke atas Krygyzstan, apabila tenggelam dalam permainan laju skuad Bawah 21 Jepun, yang mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan negara dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di sini, semalam.

Kerapuhan jentera kesebelasan Malaysia memang tidak dinafikan, selepas skuad negara kehilangan ramai pemain tonggak, yang sepatutnya memikul tugas pada perlawanan ini.

Lebih memilukan nanti, jurulatih K. Rajagobal terpaksa menyediakan pasukan yang ampuh untuk berdepan tuan rumah, China, tatkala dua tiga pemainnya terpaksa dibawa keluar padang semalam, selepas disahkan mengalami kecederaan.
Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya memberikan tentangan kepada Jepun dalam babak pertama, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam baki 45 minit perlawanan.
''Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat dan bagi kebanyakan pemain saya, perlawanan ini merupakan pengalaman pertama mereka berdepan lawan sukar.
''Saya berpendapat ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang baik buat mereka untuk mengatur strategi berdepan China selepas ini.
"Saya akan melihat mereka bertambah yakin untuk berdepan tuan rumah," kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Jurulatih skuad negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA di Vientiane tahun lepas, turut memuji semangat melawan anak-anak buahhya ketika mempertahankan gawang negara, walaupun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Jepun.
Jepun yang memalukan tuan rumah, China 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka, meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului skuad negara pada babak pertama yang sarat dengan asakan bertali arus skuad Blue Samurai, ketika skuad negara hanya mampu bertahan.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kensuke Nagai, yang mengambil kesempatan daripada benteng lemah Malaysia yang agak kucar-kacir dan mudah hilang kawalan bola.

Hotaru Yamaguchi menambah jaringan kedua minit ke-65, untuk mengukuhkan kedudukan Jepun yang kini selesa di tangga teratas saingan Kumpulan A.
Nagai bijak mencuri peluang terhidang di depan pintu gol Malaysia selepas bola rembatan rakan sepasukan, Keigo Higashi termuntah daripada dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan Nagai, anak buah K. Rajagobal cuba bangkit, namun persembahan kental benteng pertahanan skuad Bawah 21 Jepun, menyukarkan gandingan Norshahrul Idlan Talahan dan Izzaq Faris Ramlan untuk berusaha membolos gawang lawan.
Pada baki 15 minit perlawanan babak pertama, Malaysia terus mempamerkan corak bertahan, dengan sesekali membalas serangan, namun aksi Malaysia terus tenggelam dalam kerancakan bertali arus serangan Jepun yang lebih kemas mengatur formasi serangan laju. - Utusan

9 Nov 2010

Malaysia lepasi halangan pertama

Petikan daripada Utusan Malaysia 9/11/2010

Gol Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27
Guangzhou - Malaysia mengorak langkah kanan dalam perlawanan pertama Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou 2010 dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, petang semalam.

S. Chanturu memastikan tiga mata milik skuad bimbingan K. Rajagobal itu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 45 minit babak pertama.

Malah, skuad bawah 23 tahun negara dengan tiga pemain senior termasuk ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah yang berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002, mendahului menerusi penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.

Namun, Kyrgysztan dengan khidmat dua pemain berpengalaman liga Perancis dan Latvia, Davron Askarov dan Azamat Baimatov, sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Sydykov, 10 minit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun, cuma beroleh tiga peluang ke gawang daripada enam percubaan, berbanding lima milik lawan selain mendapat tiga sepakan sudut.

Dua pemain negara, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dari Myanmar, Win Cho.

Kemenangan idaman ini turut menamatkan badi kecundang perlawanan sulung buat Malaysia dalam Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, apabila dua kali dikalahkan Oman 1-0 dan 3-1.

Ia juga bakal menjadi penyala semangat yang terbaik menjelang pertemuan dengan lawan yang lebih getir, Jepun di gelanggang sama pada pukul 4 petang esok.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menyifatkan ia pencapaian yang membanggakan.

"Kemenangan ini amat membanggakan kerana skuad yang berkunjung ke Guangzhou tidak berada pada kekuatan seratus peratus, berikutan masalah kecederaan yang melanda pemain utama," katanya.

Jelas Azzuddin, kecemerlangan itu harus diteruskan pada perlawanan kedua dan ketiga peringkat kumpulan, menentang China dan Jepun, walaupun tidak mempunyai ramai pemain utama termasuk pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

"Kita memang sukar menjangkakan sama ada mampu untuk mengatasi Kyrgyzstan dengan kekuatan yang ada.

''Namun kemenangan 2-1 sekurang-kurangnya mengatasi keraguan terhadap kemampuan skuad ini.

"Saya harap ketiadaan pemain senior akibat kecederaan, dapat diketepikan dan pemain dapat meneruskan aksi cemerlang walaupun berdepan laluan sukar bertemu Jepun Rabu ini dan perlawanan terakhir bertemu China pada 13 November ini," katanya.

Bagaimanapun berita yang menggembirakan itu dicacatkan dengan kecederaan yang melanda ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 sebelum digantikan pemain muda, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Selain Norhafiz, turut cedera dan terpaksa dikeluarkan ialah penjaring gol kedua, S. Chanturu yang digantikan dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-82.

1 Nov 2010

Sathia belum tahu arah tuju

Petikan daripada Utusan Malaysia 31/10/10

Buat pertama kali pasukan Kelantan berjaya mengungguli
Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1
semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, B. Sathianathan belum pasti masa depannya bersama skuad The Red Warrios itu ekoran kes penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.


Tanpa mahu memikirkan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini, dia sudah menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi menyatakan hasrat mengambil cuti sementara waktu sebelum musim baru bermula.

''Buat masa ini pendek kata tiada sebarang perbincangan mengenai sambungan kontrak dengan KAFA.

''Saya tidak boleh bercakap apa-apa kerana selagi kes saya bersama FAM belum selesai, selagi itu sukar untuk perkatakan mengenai masa depan saya bersama skuad Kelantan.

''Hukuman enam bulanbukannya sekejap dan saya rasa situasi itu akan memberi kesan kepada kontrak saya, terpulanglah kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan KAFA jika hukuman tersebut dikekalkan, '' katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.

Sathia pada awalnya diarah tidak berada di bangku simpanan pemain dalam final Piala Malaysia oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengkritik badan bola sepak kebangsaan itu.

Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun bersetuju menangguhkan hukuman sehingga ahli jawatankuasa itu bersidang kembali.

Sementara itu, Sathia melahirkan rasa bangga kerana membentuk Kelantan menjadi pasukan yang lebih berdisiplin selepas mengambilalih jawatan jurulatih.

''Dahulu orang luar selalu melabelkan Kelantan sebagai pasukan 'kaki gaduh' dan tidak berdisiplin sepanjang perlawanan.

''Tetapi ia tidak lagi berlaku sejak saya menjadi jurulatih di sini, anda boleh lihat dalam 13 bulan lalu, Kelantan hanya mengutip dua kad merah dan itu merupakan satu rekod disiplin yang baik.

''Malah, Tan Sri Annuar sendiri bukan saja gembira dengan tahap disiplin pasukan, malah teruja kerana kami berjaya menerap gaya permainan bola sepak yang baik dalam memburu kemenangan, '' katanya.

1 Okt 2010

Pemain import hanya dibenarkan pada musim 2012

Petikan daripada Berita Harian 1/10/2010

KEHADIRAN semula pemain import yang amat dinanti-nantikan musim depan, tidak menjadi kenyataan apabila ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulat suara hanya bersetuju menangguhkan kepulangan mereka ke kancah Liga Malaysia sehingga musim 2012.


Dalam sesi percambahan minda FAM yang berakhir di Shah Alam semalam, jawatankuasa pertandingan mengambil kira semua pandangan wakil persatuan negeri, kelab, persatuan pemain profesional, bekas jurulatih, penyokong, media sebelum memutuskan untuk hanya membenarkan khidmat pemain import selepas musim 2011.
 
Ini bagi memberi peluang kepada pasukan yang tidak berkemampuan untuk memperkukuhkan diri dari segi kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang akhbar ketika merumuskan hasil sesi dua hari itu.
 
Begitupun, selepas mengambil kira masih ada pasukan yang mempunyai masalah kewangan dan masih berhutang dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jawatankuasa memutuskan untuk membenarkan tiga pemain import mulai 2012.


Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana ia memang berada dalam perancangan (pelan jangka panjang) kami sehingga 2014. Segala keputusan kini menunggu persetujuan jawatankuasa eksekutif yang bersidang Isnin ini, katanya.

Kesemua peserta turut bersetuju dengan usul membenarkan Harimau Muda A (skuad Bawah 21 Tahun kebangsaan) beraksi dalam Liga Super musim depan manakala Harimau Muda B (skuad B-19) bermain dalam Liga Perdana.