9 Ogo 2010

Tirai Liga Super 2010 berlabuh

LIGA Super musim 2010 melabuhkan tirainya dengan sederhana malam tadi apabila juara liga Selangor tewas manakala naib juara Kelantan terikat tanpa jaringan.


Ini bermakna kemuncak malam tadi sekadar menyerlahkan hakikat pakar mencium peluang sepanjang musim ialah penggempur Terengganu, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Berupaya mencatur gerak sama ada di tengah, penjuru kanan atau kiri, Ashaari mencetak 18 gol, termasuk jaringan tunggal menewaskan KL Plus malam tadi, untuk muncul pemenangan Kasut Emas.

Rembatannya pada minit ke-34 cukup memberi Terengganu tiga mata dan pembekal semangat buat anak buah Irfan Bakti menjelang undian Piala Malaysia Sabtu ini.

Selangor yang mengesah kejuaraan minggu lalu selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Shah Alam, kecundang 2-0 kepada Kedah hasil jaringan Faizal Abu Bakar pada minit ke-10 dan Baddrol Bakhtiar (m-70).

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Ahmad Aminuddin Shahruddin (m31) dan Mohd Azrul Ahmad yang menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan pelawat, Mohd Shukor Adan menjatuhkan Mohd Faiz Subri pada minit ke-49.

Di Stadium Darulmakmur, tuan rumah Pahang mengutip tiga mata terakhir selepas menewaskan penghuni tangga keempat, Johor FC 3-0, dan berjaya memintas KL Plus untuk menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, terikat tanpa jaringan dengan T-Team.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, tuan rumah Johor yang menghuni tangga kedua tercorot terus malang apabila ditewaskan Kuala Lumpur 1-0 manakala di Stadium Perak, tuan rumah membelasah pasukan tercorot Pulau Pinang 4-0 untuk memintas Kuala Lumpur di tangga ke-10.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan