15 Nov 2010

Malaysia 1 Iran 3

Sukan Asia XVI: Skuad bola sepak tewas 1-3


15/11/2010 6:34pm

GUANGZHOU 15 Nov - Perjuangan Malaysia di dalam Sukan Asia berakhir hari ini setelah tewas 1-3 kepada Iran pada saingan Round of 16 sebentar tadi.
Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-85.

Bagaimanapun Malaysia yang berjaya ke pusingan ini dengan perkiraan timbal balik setelah menduduki tempat ketiga paling selesa pada kumpulan.

Malaysia menduduki tangga ketika dikumpulan setelah berjaya memperolehi satu kemenangan 2-1 keatas Kyrgystan dan tewas 0-2 kepada Jepun dan China 0-3 dimana pasukan negara tepaksa bermain dengan 8 pemain setelah 3 pemain dibuang padang.

11 Nov 2010

Jepun 2 Malaysia 0

Petikan daripada Utusan Malaysia 11/11/2010


HUADU, Guangzhou - Skuad negara gagal mengulangi rentak kemenangan ke atas Krygyzstan, apabila tenggelam dalam permainan laju skuad Bawah 21 Jepun, yang mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan negara dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia di sini, semalam.

Kerapuhan jentera kesebelasan Malaysia memang tidak dinafikan, selepas skuad negara kehilangan ramai pemain tonggak, yang sepatutnya memikul tugas pada perlawanan ini.

Lebih memilukan nanti, jurulatih K. Rajagobal terpaksa menyediakan pasukan yang ampuh untuk berdepan tuan rumah, China, tatkala dua tiga pemainnya terpaksa dibawa keluar padang semalam, selepas disahkan mengalami kecederaan.
Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya memberikan tentangan kepada Jepun dalam babak pertama, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan lawan dalam baki 45 minit perlawanan.
''Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat dan bagi kebanyakan pemain saya, perlawanan ini merupakan pengalaman pertama mereka berdepan lawan sukar.
''Saya berpendapat ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang baik buat mereka untuk mengatur strategi berdepan China selepas ini.
"Saya akan melihat mereka bertambah yakin untuk berdepan tuan rumah," kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Jurulatih skuad negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA di Vientiane tahun lepas, turut memuji semangat melawan anak-anak buahhya ketika mempertahankan gawang negara, walaupun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Jepun.
Jepun yang memalukan tuan rumah, China 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka, meneruskan rentak cemerlang dengan mendahului skuad negara pada babak pertama yang sarat dengan asakan bertali arus skuad Blue Samurai, ketika skuad negara hanya mampu bertahan.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kensuke Nagai, yang mengambil kesempatan daripada benteng lemah Malaysia yang agak kucar-kacir dan mudah hilang kawalan bola.

Hotaru Yamaguchi menambah jaringan kedua minit ke-65, untuk mengukuhkan kedudukan Jepun yang kini selesa di tangga teratas saingan Kumpulan A.
Nagai bijak mencuri peluang terhidang di depan pintu gol Malaysia selepas bola rembatan rakan sepasukan, Keigo Higashi termuntah daripada dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan Nagai, anak buah K. Rajagobal cuba bangkit, namun persembahan kental benteng pertahanan skuad Bawah 21 Jepun, menyukarkan gandingan Norshahrul Idlan Talahan dan Izzaq Faris Ramlan untuk berusaha membolos gawang lawan.
Pada baki 15 minit perlawanan babak pertama, Malaysia terus mempamerkan corak bertahan, dengan sesekali membalas serangan, namun aksi Malaysia terus tenggelam dalam kerancakan bertali arus serangan Jepun yang lebih kemas mengatur formasi serangan laju. - Utusan

9 Nov 2010

Malaysia lepasi halangan pertama

Petikan daripada Utusan Malaysia 9/11/2010

Gol Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27
Guangzhou - Malaysia mengorak langkah kanan dalam perlawanan pertama Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou 2010 dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, petang semalam.

S. Chanturu memastikan tiga mata milik skuad bimbingan K. Rajagobal itu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 45 minit babak pertama.

Malah, skuad bawah 23 tahun negara dengan tiga pemain senior termasuk ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah yang berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002, mendahului menerusi penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.

Namun, Kyrgysztan dengan khidmat dua pemain berpengalaman liga Perancis dan Latvia, Davron Askarov dan Azamat Baimatov, sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Sydykov, 10 minit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun, cuma beroleh tiga peluang ke gawang daripada enam percubaan, berbanding lima milik lawan selain mendapat tiga sepakan sudut.

Dua pemain negara, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dari Myanmar, Win Cho.

Kemenangan idaman ini turut menamatkan badi kecundang perlawanan sulung buat Malaysia dalam Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, apabila dua kali dikalahkan Oman 1-0 dan 3-1.

Ia juga bakal menjadi penyala semangat yang terbaik menjelang pertemuan dengan lawan yang lebih getir, Jepun di gelanggang sama pada pukul 4 petang esok.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menyifatkan ia pencapaian yang membanggakan.

"Kemenangan ini amat membanggakan kerana skuad yang berkunjung ke Guangzhou tidak berada pada kekuatan seratus peratus, berikutan masalah kecederaan yang melanda pemain utama," katanya.

Jelas Azzuddin, kecemerlangan itu harus diteruskan pada perlawanan kedua dan ketiga peringkat kumpulan, menentang China dan Jepun, walaupun tidak mempunyai ramai pemain utama termasuk pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

"Kita memang sukar menjangkakan sama ada mampu untuk mengatasi Kyrgyzstan dengan kekuatan yang ada.

''Namun kemenangan 2-1 sekurang-kurangnya mengatasi keraguan terhadap kemampuan skuad ini.

"Saya harap ketiadaan pemain senior akibat kecederaan, dapat diketepikan dan pemain dapat meneruskan aksi cemerlang walaupun berdepan laluan sukar bertemu Jepun Rabu ini dan perlawanan terakhir bertemu China pada 13 November ini," katanya.

Bagaimanapun berita yang menggembirakan itu dicacatkan dengan kecederaan yang melanda ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 sebelum digantikan pemain muda, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Selain Norhafiz, turut cedera dan terpaksa dikeluarkan ialah penjaring gol kedua, S. Chanturu yang digantikan dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-82.

1 Nov 2010

Sathia belum tahu arah tuju

Petikan daripada Utusan Malaysia 31/10/10

Buat pertama kali pasukan Kelantan berjaya mengungguli
Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1
semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, B. Sathianathan belum pasti masa depannya bersama skuad The Red Warrios itu ekoran kes penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.


Tanpa mahu memikirkan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini, dia sudah menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi menyatakan hasrat mengambil cuti sementara waktu sebelum musim baru bermula.

''Buat masa ini pendek kata tiada sebarang perbincangan mengenai sambungan kontrak dengan KAFA.

''Saya tidak boleh bercakap apa-apa kerana selagi kes saya bersama FAM belum selesai, selagi itu sukar untuk perkatakan mengenai masa depan saya bersama skuad Kelantan.

''Hukuman enam bulanbukannya sekejap dan saya rasa situasi itu akan memberi kesan kepada kontrak saya, terpulanglah kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan KAFA jika hukuman tersebut dikekalkan, '' katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.

Sathia pada awalnya diarah tidak berada di bangku simpanan pemain dalam final Piala Malaysia oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengkritik badan bola sepak kebangsaan itu.

Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun bersetuju menangguhkan hukuman sehingga ahli jawatankuasa itu bersidang kembali.

Sementara itu, Sathia melahirkan rasa bangga kerana membentuk Kelantan menjadi pasukan yang lebih berdisiplin selepas mengambilalih jawatan jurulatih.

''Dahulu orang luar selalu melabelkan Kelantan sebagai pasukan 'kaki gaduh' dan tidak berdisiplin sepanjang perlawanan.

''Tetapi ia tidak lagi berlaku sejak saya menjadi jurulatih di sini, anda boleh lihat dalam 13 bulan lalu, Kelantan hanya mengutip dua kad merah dan itu merupakan satu rekod disiplin yang baik.

''Malah, Tan Sri Annuar sendiri bukan saja gembira dengan tahap disiplin pasukan, malah teruja kerana kami berjaya menerap gaya permainan bola sepak yang baik dalam memburu kemenangan, '' katanya.