24 Ogo 2010

FAM Punya Tiga Pilihan Untuk Mantapkan Skuad Harimau Muda

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mempunyai tiga pilihan bagi memantapkan skuad Harimau Muda terutama dalam misi mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia, tahun depan.


Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata skuad di bawah 23 tahun bimbingan Ong Kim Swee itu boleh meneruskan latihan di Slovakia, menyertai kem latihan di Cardiff City, Wales atau mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan negara lain.

"Kini terpulang kepada presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk menentukan pilihan terbaik bagi skuad tersebut dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi sesi 2010/2014 di Wisma FAM pada hari Isnin.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Skuad Harimau Muda sebelum ini di bawah bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah telah berada di Slovakia selama tiga bulan, bermula Februari lepas untuk menjalani latihan dengan menyertai pertandingan bola sepak liga di sana .

Namun pergeseran pendapat Azraai dan jurulatih penjaga gol, P. Mohana Sundram menyebabkan barisan jurulatih skuad tersebut dipecat dan Kim Swee dipilih menggantikan tempat Azraai.

Azzuddin berkata bagi pilihan pertama, Slovakia telahpun memberi pengesahan mahukan Skuad Harimau Muda A kembali bertanding dalam liga divisyen satu negara tersebut yang melibatkan 12 kelab.

Sementara itu, mengenai cadangan latihan selama enam minggu di Cardiff, Wales bersama kelab divisyen dua Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang kini dimiliki oleh rakyat Malaysia, katanya ianya belum dapat memastikan sama ada skuad muda negara akan dapat perlawanan yang bermutu.

"FAM akan menggunakan wang sendiri ke sana, tetapi kita tidak dapat memberi pengesahan sama ada dalam tempoh tersebut, skuad tersebut akan mendapat perlawanan yang bermutu," katanya.

Mengenai latihan di dalam negara dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara, katanya "berkemungkinan ianya tidak akan dapat mencapai prestasi maksimum dalam perlawanan persahabatan, terutama dalam jangka masa tiga bulan ini kerana kebanyakan negara sibuk mempersiapkan pasukan untuk ke Sukan Asia Guangzhou, pada November ini."

Beliau berkata kos perbelanjaan bagi ketiga-tiga pilihan tersebut adalah lebih kurang sama.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan