30 Ogo 2010

Cadangan wujud bola sepak Liga ASEAN

Petikan daripada Utusan Malaysia.

KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara di rantau ini, bagi mewujudkan bola sepak Liga Asean, dalam usaha mengukur kemampuan pasukan bola sepak negara masing- masing.


Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, hasrat itu merupakan salah satu usaha KBS meningkatkan kedudukan skuad bola sepak negara di peringkat dunia.

Katanya, surat mengenai cadangan dan hasrat itu, telah dikemukakan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

"Kita telah kemukakan cadangan ini kepada Presiden, selain saya juga ada ajukan cadangan ini kepada Menteri Sukan Singapura dan Indonesia bagi membolehkan liga ini diadakan.

"Mereka telah pun bersetuju, bagaimanapun perkara ini mesti dipersetujui di peringkat persatuan bola sepak negara masing-masing terlebih dahulu.

''Objektif akhir kita mahu liga ini mendapat pengiktifaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan bola sepak antarabangsa lain," katanya.

Beliau menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Kemaman kepada penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, cadangan mewujudkan Liga Asean itu memerlukan proses seperti perlawanan bola sepak yang biasa berlangsung di negara Eropah.

Ujarnya, ia perlu dilakukan secara sistematik dan tidak membebankan pemain agar mampu beraksi dengan baik.

"Jika perkara ini mahu dilakukan ia perlu dilakukan dengan teliti.

''Ini kerana, kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan yang mampu beraksi dengan baik akan tergugat sekiranya perlawanan yang diadakan secara berterusan.

"Pada masa kini, kedudukan sesebuah skuad itu hanya bergantung dan dinilai jika ada perlawanan kelayakan untuk menyertai kejohanan sukan besar seperti Olimpik, Piala Dunia dan Sukan Asia.

"Jadi melalui penganjuran perlawanan Liga Asean ini dapat mewujudkan satu perlawanan yang boleh membuka mata penilai dan untuk peringkat permulaan cukuplah dengan melibatkan beberapa buah negara Asean dahulu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan