9 Nov 2010

Malaysia lepasi halangan pertama

Petikan daripada Utusan Malaysia 9/11/2010

Gol Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27
Guangzhou - Malaysia mengorak langkah kanan dalam perlawanan pertama Kumpulan A bola sepak Sukan Asia XVI Guangzhou 2010 dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 di Stadium Huadu, petang semalam.

S. Chanturu memastikan tiga mata milik skuad bimbingan K. Rajagobal itu dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 45 minit babak pertama.

Malah, skuad bawah 23 tahun negara dengan tiga pemain senior termasuk ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah yang berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002, mendahului menerusi penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27.

Namun, Kyrgysztan dengan khidmat dua pemain berpengalaman liga Perancis dan Latvia, Davron Askarov dan Azamat Baimatov, sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Sydykov, 10 minit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun, cuma beroleh tiga peluang ke gawang daripada enam percubaan, berbanding lima milik lawan selain mendapat tiga sepakan sudut.

Dua pemain negara, Mahalli Jasuli dan S. Kunanlan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dari Myanmar, Win Cho.

Kemenangan idaman ini turut menamatkan badi kecundang perlawanan sulung buat Malaysia dalam Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006, apabila dua kali dikalahkan Oman 1-0 dan 3-1.

Ia juga bakal menjadi penyala semangat yang terbaik menjelang pertemuan dengan lawan yang lebih getir, Jepun di gelanggang sama pada pukul 4 petang esok.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menyifatkan ia pencapaian yang membanggakan.

"Kemenangan ini amat membanggakan kerana skuad yang berkunjung ke Guangzhou tidak berada pada kekuatan seratus peratus, berikutan masalah kecederaan yang melanda pemain utama," katanya.

Jelas Azzuddin, kecemerlangan itu harus diteruskan pada perlawanan kedua dan ketiga peringkat kumpulan, menentang China dan Jepun, walaupun tidak mempunyai ramai pemain utama termasuk pasangan kembar Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.

"Kita memang sukar menjangkakan sama ada mampu untuk mengatasi Kyrgyzstan dengan kekuatan yang ada.

''Namun kemenangan 2-1 sekurang-kurangnya mengatasi keraguan terhadap kemampuan skuad ini.

"Saya harap ketiadaan pemain senior akibat kecederaan, dapat diketepikan dan pemain dapat meneruskan aksi cemerlang walaupun berdepan laluan sukar bertemu Jepun Rabu ini dan perlawanan terakhir bertemu China pada 13 November ini," katanya.

Bagaimanapun berita yang menggembirakan itu dicacatkan dengan kecederaan yang melanda ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 sebelum digantikan pemain muda, Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Selain Norhafiz, turut cedera dan terpaksa dikeluarkan ialah penjaring gol kedua, S. Chanturu yang digantikan dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-82.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan